Jumaat, 17 Januari 2014

ISU KENAIKAN HARGA BARANG


Kebelakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Kenaikan harga minyak telah memberikan kesan kepada semua orang serta menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini berlaku kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Contohnya, barang-barang keperluan harian dijangka meningkat antara 10 hingga 20 berbanding harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup untuk makan. Oleh itu, masyarakat perlu berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

Menurut Muhammad Sha'ani  terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan di negara ini, antaranya bil import makanan yang tinggi. "Pada tahun 2005, bil import makanan negara berjumlah RM17.793 bilion sedangkan bil eksport makanan hanya RM10.674 bilion, menunjukkan defisit RM7.119 bilion dalam Imbangan Dagangan Barangan Makanan (BOTFS). Sejak lebih seabad lampau, Malaysia semakin bergantung kepada import makanan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Pasaran makanan negara ini dikuasai oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, China, Thailand dan Indonesia.Malaysia mengimport barangan tenusu dari New Zealand sementara sayur-sayuran serta buah-buahan diperoleh dari Australia dan Amerika Syarikat.Malaysia juga mengimport produk makanan laut, sebahagian besarnya dari Thailand dan Indonesia. Ketidakupayaan Malaysia menampung pengeluaran makanan dalam negara bagi memenuhi permintaan menjadikan bil import makanan melambung dan menyebabkan kenaikan harga makanan ini.

Sesungguhnya, bencana alam juga merupakan punca yang mencetuskan kenaikan harga barang. Ketika berlakunya banjir atau kemarau yang berpanjangan, hasil tanaman pasti berkurangan.  Sebagai contoh, ketika dilanda musim tengkujuh, harga sayur-sayuran akan naik secara mendadak. Sayur sawi pernah mencecah harga sebanyak RM8 sekilo manakala cili merah kini telah mencecah harga RM15 sekilo sebagai harga runcit.   Sejak beberapa tahun ini, negara pengeluar makanan terutama seperti negara Thai, Rusia, India dan Kanada sering mengalami pelbagai musibah yang  berkaitan dengan pemanasan global. Hasil tanaman mereka mengalami kemerosotan. Akibatnya, kerajaan negara berkenaan sanggup mengehadkan eksport hasil tanaman dan ternakan  seperti beras, bahan tenusu, tepung gandum, bawang dan lain-lain ke luar negara sehingga harga barang makanan di pasaran antarabangsa turut menjulang.  Rentetan daripada itu, rakyat kita terpaksa membeli barang makanan yang semakin mahal.

selain itu, kenaikan mata wang asing berbanding dengan mata wang Malaysia telah menyumbang kepada gejala ini.  Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam.  Peniaga  negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing.  Sebagai realiti, negara kita terpaksa berurus niaga dengan negara asing melalui US dolar.  Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang agak rendah.  Tidak dapat dinafikan bahawa mahu tidak mahu, kita tetap perlu membeli pelbagai barang keperluan dari luar negara kerana tidak dapat dihasilkan di dalam negara kita sendiri, seperti tepung gandum.

seterusnya terdapat peniaga yang bersikap tamak haloba sering memasang jerat untuk meningkatkan harga barang.  Demi meragut keuntungan yang lumayan,  terdapat banyak peniaga sentiasa menangguk di air keruh dengan menyorok barangan keperluan. Mereka enggan menjual barang keperluan di pasaran lalu menimbulkan suasana yang gelisah dalam kalangan pengguna bahawa sudah kehabisan stok. Pengguna yang  seperti cacing kepanasan akan merebut untuk membeli barangan itu sehingga peniaga berani menaikkan harga untuk menjual barang itu.  Hal ini sering berlaku  dalam masyarakat kita.  Barangan keperluan seperti beras, gula, dan tepung sering  menjadi sasaran kepada peniaga yang sentiasa menunggu peluang.

Pendekatan yang dominan untuk membendung masalah kenaikan harga barang keperluan ialah “Kempen Berhemat”.  Kata orang tua-tua, “Ingat  sebelum kena, jimat sebelum habis” dan “cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit“.   Amalan berjimat cermat merupakan tabiat yang terpuji.  Amalan membesarkan kerak nasi patut dielakkan kerana berbelanja banyak tanpa sekatan hanya merugikan diri sendiri.  Pengguna harus diterapkan ilmu kepenggunaan supaya sentiasa membeli barang berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Rakyat kita digesa supaya bersahaja dan sederhana tanpa boros terutamanya pada musim perayaan. Sebagai contoh,  telur, daging ayam, tepung menghadapi kekurangan di pasaran gara-gara pengguna membeli secara berlebihan sehingga membazir  dan tidak dapat dihabiskan.  Jika setiap rakyat dapat berhemat  dengan tabiat cicir dipungut, hilang dicari dalam setiap pembelian dan tidak membeli secara berlebihan,  nescaya inflasi  dapat diminimumkan kerana bekalan tidak mengalami kekurangan berbanding dengan permintaan di pasaran.

Dalam konteks ini,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna harus menganjurkan “Kempen Beli Barangan Malaysia”.  Langkah ini amat mustahak untuk memulihkan masalah inflasi. Rakyat Malaysia digalakkan supaya membeli bahan keperluan asas yang sedia ada di negara kita daripada membeli barangan import. Walhal,  harga barangan tempatan lebih berpatutan kerana  kos pengangkutan lebih murah.   Contoh,  rakyat kita seyogianya  makan buah-buahan dan sayur-mayur tempatan yang lebih segar dan berkhasiat  daripada barangan import.  Seperti peribahasa, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  Jika semua rakyat dapat bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan bersemangat patriotik,  kempen tersebut berupaya meningkatkan peniagaan dalam negara.  Senarionya,  petani, peniaga dan  pengusaha industri kecil dan sederhana kita turut memperoleh  manfaatnya.  Hal ini dapat memantapkan defisit pendapatan negara supaya nilai mata wang Malaysia tidak jatuh berbanding dengan mata wang asing.  Inflasi turut diredakan.

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan tindakan yang ampuh untuk membendung inflasi.  Demi mencegah penyelewengan peniaga yang tamak haloba, pegawai yang terlibat tidak patut bertindak sambil lewa atau bena tak bena sahaja. Misalnya pemantauan atau serbuan hanya dijalankan secara bermusim sahaja.  Lebih-lebih lagi kegiatan rasuah meruwatkan situasi ini.  Tanpa tindakan undang-undang yang ketat, peniaga akan bertindak bermaharajalela dengan meningkatkan  harga barangan jualan tanpa belas kasihan.  Rentetan daripada itu,  kompaun dan hukuman penjara mandatori   harus dijatuhkan dengan semaksimumnya terhadap peniaga yang  licik.  Pemantauan yang lebih kerap harus diadakan terhadap semua premis perniagaan dan pasar malam. Masyarakat kita perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti “Rakan Cop” untuk melaporkan berlakunya penyelewengan peniaga .   Hukuman yang ketat dan tindakan pegawai yang bersih, cekap dan amanah pasti dapat mengekang peniaga yang ingin menangguk di air keruh.



publisher,

group work





Tiada ulasan:

Catat Ulasan